Sunday, 17 December 2017

Wanita warga Ukraine terlepas tali gantung


GEORGE TOWN - Seorang wanita warga Ukraine berusia 23 tahun dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan mengedar 1.54kg dadah  jenis kokain, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh Lopatkina Klavdiia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Ruang Ketibaan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 11 pagi, 31 Disember 2015.

Klavdiia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Ketika ditahan, wanita itu sedang mengandung sebulan dan dia melahirkan seorang bayi perempuan pada Ogos tahun lepas ketika dalam tahanan reman sebelum anaknya itu dibawa pulang ke Ukraine oleh ibu tertuduh.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata terdapat percanggahan keterangan daripada saksi berhubung identiti dadah itu.

Beliau berkata saksi yang terdiri daripada pegawai penyiasat, pegawai polis dan ahli kimia memberikan keterangan yang berbeza berhubung bungkusan dadah yang ditemui bersama tertuduh.

Sebanyak tujuh saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azrul Abdul Rahman dan tertuduh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan dan Low Huey Theng.

Sementara itu, Klavdiia kemudiannya ditahan semula oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang kerana memiliki visa tamat tempoh. - Bernama



No comments:

Post a Comment

Lapan kedai kerepek serta pasu di Jalan Ayer Hitam-Johor, hangus terbakar dalam kejadian awal pagi tadi

8 kedai kerepek terbakar. #Nasional Lapan kedai kerepek serta pasu di Jalan Ayer Hitam-Johor, hangus terbakar dalam kejadian awal pagi ...