KOTA BHARU - Nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang sering menjadi hamba seks bapa kandungnya sendiri terbela Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan terhadapnya.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 50 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak kandungnya yang ketika itu berusia 10 tahun empat bulan di sebuah rumah di Bachok antara pukul 9.30 malam hingga 11.15 malam pada 22 September lalu.
Lelaki tersebut yang merupakan seorang duda didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias yang memohon tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan sumbang mahram adalah perbuatan keji hingga menyebabkan mangsa menjadi trauma sehingga kini.
Tertuduh yang bekerja sebagai peniaga itu tidak diwakili peguam dan merayu agar hukumannya dikurangkan.
Duda yang mempunyai lapan orang anak itu berpisah dengan bekas isterinya sejak Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah ke rumah bekas isterinya untuk mengajak mangsa tidur di rumahnya namun mangsa berkeras tidak mahu mengikut bapanya.
Bagaimanapun setelah dipujuk, mangsa telah mengikut bapanya dan dihantar pulang oleh seorang lagi anak tertuduh.
Mangsa telah menceritakan kejadian sebenar kepada ibunya dan turut memaklumkan ia bukanlah kejadian yang pertama tetapi terpaksa merahsiakan kerana telah diugut oleh bapa sendiri.
No comments:
Post a Comment